Pages

  • RSS

Wednesday, October 26, 2011

ahli ibadah yang bermain-main?





"Thank You."

Slide terakhir yang terpampang di dinding dewan kuliyah yang dihadiri majoritinya pelajar Melayu tahun 5 Fakulti Perubatan Unversiti Kaherah, menandakan tamatnya kuliyah Paediatric selama sejam setengah itu.

Aku bergegas meluru keluar, hajatnya mahu cepat sampai ke rumah kerana solat Zuhur yang belum lagi ditunaikan.


Di pintu keluar dewan, terserempak sahabat seperjuangan dari zaman sekolah; Husna Afifah. Kami beriringan berjalan sambil berbual-bual. Kami berjalan di hadapan gerai-gerai pameran dan jualan yang dibuka oleh rakan-rakan Arab di sekitar kawasan universiti, tiba-tiba aku tersentak.

"Husna! Imam Maher!"

Terdengar di corong telinga kami dari salah satu gerai pameran berdekatan, bacaan ayat suci Al-Quran yang dialunkan Imam Masjidilharam yang menjadi kegemaran kami; Imam Maher Al-Mu'aqliy.

Kami berpandangan, saling berbalas senyum dan meneruskan langkah.

"Ya Allah, rindunya kat Tanah Haram...." aku bersuara. Dan perbualan kami setelah itu berkisar tentang kisah dan kerinduan kami kepada dua tanah suci yang dimuliakan Allah; Mekah dan Madinah, meskipun kedua kami baru saja pulang menunaikan ibadah umrah pada Ramadhan yang lepas.




Jujurnya, kerinduan itu tak pernah pudar. 2 minggu di Tanah Haram, aku bagaikan berada dalam 'bubbles of dream'. Macam dalam mimpi yang indah, dan terasa nak selama-lamanya berada dalam mimpi tu. Taknak dikejutkan dari tidur. Sepanjang 2 minggu kami disibukkan dengan ibadah lebih-lebih lagi dalam fatrah 10 akhir Ramadhan, tanpa diserabutkan langsung dengan perkara-perkara duniawi, tanpa depeningkan dengan qadhaya dakwah haraki dan tanzimi. Fikiran kami seolah-oleh diputuskan dari memikirkan benda-benda lain, selain ibadah.

Dan aku akui, 2 minggu ini boleh dikatakan hari-hari terindah dalam hidupku. Hari-hari kami hanya disibukkan untuk bersolat di Masjid Nabawi dan Masjidilharam, berlumba-lumba mengerjakan ibadah umrah. Hari-hari kami dilalui dengan memikirkan, apa yang boleh dibuat hari ini untuk dapatkan pahala yang berlipat-ganda dari hari sebelumnya. Berlumba-lumba mencari lailatulqadr, mengedarkan makanan untuk orang berbuka puasa, atau bersedeqah kepada pekerja-pekerja yang membersihkan Masjid Nabawi dan Masjidilharam, atau berdiri di tepi Kaabah mengedarkan tisu muka untuk mereka yang sedang melakukan tawaf, atau merancang plan pada hari itu; Bagaimana nak mendapatkan tempat untuk bersolat terawih dan qiyam di Saff pertama di hadapan Kaabah, atau sekadar berlumba mendapatkan pahala dengan mengedarkan plastik-plastik kosong di hadapan pintu masjid kepada para jemaah untuk mengisi kasut-kasut mereka.

Hari-hari yang sangat indah, kerana kesemuanya berumba-lumba mengejar pahala!

Dan kemuncak keindahan dan kemanisan beribadah itu dirasai pada malam-malam terakhir Ramadhan, ketika jutaan umat Islam solat berimamkan Imam Sudais dan Imam Maher, dengan bacaan doa qunut yang menggetarkan jiwa dan menggegarkan kota suci Mekah dengan tangisan dari para jemaah solat yang memohon keampunan dari Allah.

Sungguh, aku terasa sayu meninggalkan bulan Ramadhan, dan lebih sayu untuk meninggalkan kota ibadah ini.

Terasa mahu selama-lamanya berada dalam 'bubbles of dream' itu.

Tapi sekembalinya ke Kaherah pada 5 Syawal, 'bubbles of dream' tu bagai diletupkan dan dicucuk dengan jarum oleh akhawat-akhawat yang menanti kepulangan kami. Belum sempat nak melayan rindu dan kesedihan meninggalkan haramain, kami dah disogokkan dengan meeting dan daurah yg super-duper banyak! Akhawat ni ada masalah ini,Adik tu tengah melompat-lompat nak bergerak, akhawat di Malaysia pening-pening mintak tolong itu dan ini.
Segala qadhaya dakwah dan tarbiyyah disogokkan di hadapan kami, untuk dibincangkan dan diberi pandangan.

Tiba-tiba nafasku jadi sesak semula.

Terasa berada dalam dunia yang lain.

Benar, 2 minggu di haramain, membuatkan aku lupa realiti kehidupan yang sebenar.

Dan akhirnya aku terpaksa akur, untuk dikejutkan dari mimpi yang indah ini.

Aku yang memilih jalan ini. Jalan yang dilalui oleh mujahidin terdahulu sebelumku. Jalan yang menuntut masa, tenaga, harta dan seluruhnya.

Kerna kita beriman, bahawa pejuang sejati itu bukannya seperti seorang rahib atau paderi, yang beruzlah mengasingkan diri dari manusia, bertapa di pedalaman hutan atau gunung, kononnya untuk mendekatkan diri kepada Tuhan dan menyucikan diri. Atau dengan kata lainnya bagi muslim, mengasingkan diri dan duduk sepanjang masa di masjid untuk beribadah tanpa menghiraukan dunia sekelilingnya.

Daie dan mujahid sejati itu, medannya adalah bersama manusia. Core bussiness nya adalah menyeru manusia kepada Allah. Ya, kita beriman bahawa daie juga perlukan proses tazkiyah dan penyucian hati. Tapi daie yang sejati itu, menyucikan dirinya dan mencari kekuatan di malam hari, tatkala semua manusia sedang lena, setelah di siang harinya bertungkus-lumus dipenatkan dengan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah.

Kita mengimani, bahawa 'Uzlah' itu bertentangan dengan Islam yang 'mutaharrik' dinamik, sebagaimana yang dididik oleh Rasulullah SAW. Islam didikan Rasulullah SAW Islam amar makruf nahi munkar,berjihad dan berdakwah!

Seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas'ud;

Seorang ahli fiqh dari para tabi'in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir Asy-Sya'bi telah meriwayatkan bahawa ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di pinggir bandar, beribadah di sana. Berita itu telah sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas'ud r.a lalu dia pun datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau.

Tiba-tiba Ibnu Mas'ud berkata kepada mereka: "Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?"

Mereka berkata: "Kami ingin lari dari hingar-bingar kelam-kabut orang ramai untuk beribadat."

Lalu kata Abdullah bin Mas'ud: "Jika semua orang berbuat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang."

Kisah ini diriwayatkan oleh Syeikh ahli hadis Abdullah bin Al-Mubarak.

Seharusnya daie yang sejati itu tidak patut merasa gundah gulana jika tidak dapat meluangkan masa sepanjang hari di atas tikar sejadah, atau tidak dapat memperbanyakkan khatam Al-Quran kerana sibuk dengan urusan dakwah. Kerana yakinlah, jihad di medan dakwah dan mentarbiyyah pemudi-pemudi Islam itu lebih besar pahalanya; seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW di dalam Hadis Unta Merah;

لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم
"Sungguh, jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang melalui engkau (dakwah engkau) maka itu lebih baik darimu daripada engkau memiliki unta merah."
(Hadis Riwayat Muslim)

atau dalam riwayat lain, "..lebih baik dari dunia dan seisinya."

Unta merah, lambang kekayaan berlipat ganda bagi masyarakat Arab jahiliyyah. Yang mungkin boleh diibaratkan pada zaman ini seperti memiliki Ferarri merah? wallahu a'lam.

Justeru,Yakinlah duhai hati, dakwah yang kau lakukan ini bukan kerja sia-sia, malah ia pekerjaan luar biasa yang mulia! Yang dilakukan oleh setiap Nabi, Rasul dan mukmin terdahulu. Carilah kekuatanmu dengan solat malam,puasa, zikrullah dan tilawah Al-Quran, dengan memelihara amalan mu yang wajib. Tapi janganlah kau tinggalkan manusia dan mengasingkan diri di masjid atau di rumah masing-masing, sekadar meratapi nasib umat Islam, dan membiarkan generasi dan belia Islam dididik dan dibentuk oleh fahaman atheis, sekularisme, komunisme dan materialisme, menjerumuskan belia Islam menjadi rosak dan hidup bertuhankan hawa nafsu serta leka di alam hedonisme!

Kerna kita bukan Ahli Ibadat yang bermain-main. Kita adalah Ahli Ibadat yang bekerja!


sumber inspirasi dan rujukan;
1. kenangan umrah Ramadhan 2011
2. Muntalaq Bab 5; Ahli Ibadah Yang Bermain-main

Sunday, October 16, 2011

entah keberapa kali

Allah...

maha suci Engkau, yang masih lagi sudi memilihku untuk tetap berada di dalam saff ini, meskipun berulang kali aku memungkiri janjiku kepadaMu.

Aku yg sering berpaling dariMu utk mencari kebahagiaan duniawi, sedangkan aku sangat2 memahami bahawa bahagia yg hakiki itu hanya datang dari Engkau. Aku yg sangat2 mengimani, bahawa nyawaku di genggamanMu, yg bila2 masa sahaja boleh Kau pisahkan ruh dari jasadku. Di mana ketika itu, tiada lagi istilah taubat dan kemaafan bagiMu!

وَلَيۡسَتِ ٱلتَّوۡبَةُ لِلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ حَتَّىٰٓ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ ٱلۡمَوۡتُ قَالَ إِنِّى تُبۡتُ ٱلۡـَٔـٰنَ وَلَا ٱلَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمۡ ڪُفَّارٌ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَعۡتَدۡنَا لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمً۬ا
Dan taubat itu tidaklah (diterima Allah) dari mereka yg melakukan kejahatan hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) dia mengatakan, "Aku benar2 bertaubat sekarang." Dan tidak (pula diterima taubat ) dari orang-orang yg meninggal sedang mereka dlm kekafiran. Bagi org2 itu telah Kami sediakan azab yg pedih. [AnNisaa' ayat 18]

Tapi ..

entah yg keberapa kali, aku kembali memungkiri janjiku padaMu.

Allah, bantu aku ya Allah. Aku yg lemah, hanya mengharapkan rahmat dan kasih sayangMu utk memelihara diriku dari azab dan kemurkaanMu. Kuatkan aku ya Allah, aku tak mahu tewas lagi. Sekian lama, aku masih tak mampu utk mendidik nafsu yg membelengguku..

aku mahukan hati yg baru.hati yg tiada dosa noda dan titik2 hitam yg menjijikkan mataku sndiri yg melihatnya.

aku mahu meletakkan Kau setinggi2 kedudukan dlm hatiku. cukuplah Engkau sbg Tuhanku. aku tak memerlukan alhawa' dan annafs sbg tuhan2 lain merajai hatiku. aku tak ingin lagi tunduk kpd taghut, aku tak ingin lagi bertuhankan nafsuku.

Aku yg hanya memerlukan Engkau ya Rabb :(


.......................


Allah...
sudikah Kau memberikanku hati yg baru?




Wednesday, May 11, 2011

Hannah & Maryam




Saya selalu merasakan bahawa makhluk terindah atas muka bumi ini adalah KANAK-KANAK.
Bila jatuh saja pandangan ke atas bayi atau budak2 kecik, terasa melayang segala masalah .matanya, bibir comelnya, suci bersih wajahnya. they really can soothe our mind!

Tambah lagi bila ada facebook,tengok senior itu baru bersalin, kawan yg ini anaknya dah pandai berjalan. suma pakat2 tayang kecomelan baby masing2. siapa tak jeles! *huarghh mood tensen*

Adakah ini syndromes yg selalu berlaku kpd wanita2 yg nak menginjak usia 22tahun beberapa hari lagi? :p

er, tapi jangan salah faham pula ok. mood sekarang adalah mood nak baby, bukan nak kawen :D

Perasaan dan keinginan nakkan baby semakin memuncak, apatah lagi bila belajar tafseer Surah Ali Imraan ayat 33-37.

5 ayat ini menceritakan tentang HADAF , atau dalam kata lainnya, OBJEKTIF kita dalam melaksanakan sesuatu perkara. Cantik sangat cara Allah nak ajar kita tentang hadaf ni, which is melalui penceritaan dan kisah tentang seorang wanita bernama Hannah, ataupun gelarannya 'Imra'ah 'Imraan'.

Dahulu saya selalu tertanya-tanya. Siapa sebenarnya Imraan ni? kenapa dia terlalu special sampaikan Allah abadikan nama keluarganya (آل عمران -keluarga Imraan) sebagai satu surah di dalam Al-Quran? Dan siapa sebenarnya ahli keluarganya?

Pertanyaan saya terjawab pada cuti Soyfiyy (summer holiday) yg lalu, ketika berjaulah di bumi Urdun. Seorang ukhti telah berkongsi kisah ini kepada kami, satu pengisian yg benar-benar terkesan dalam diri saya.

Kisah bagaimana Allah SWT telah menurunkan ayat ini kepada para sahabat Rasulullah yg lari dari medan perang dan berebutkan harta ghanimah. Allah mengingatkan mereka tentang HADAF mereka berjihad fisabilillah, melalui kisah seorang wanita tua bernama Hannah :)

Hannah, isteri kepada 'Imraan. Keduanya dari keturunan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, yg hidup di zaman penjajahan Rom di bumi Palestin. Pada zaman itu, mereka yg beriman dgn tauhidullah ditekan dan ditindas oleh kerajaan Rom, sehinggakan Hannah yg berjiwa du'at itu merasa risau. Siapakah yg akan menjadi pewaris dan penyambung risalah Allah di bumi Palestin nanti? Maka dengan penuh tekad Hannah membuat keputusan. Ya, penyelamat ummah ini perlu lahir, dan pastinya lahir dari rahimku !

Hannah yang sudah menginjak usia tua itu duduk termangu. Bagaimana dia mampu melahirkan anak dalam usianya yg sebegitu? Ya, dia memang mempunyai seorang anak perempuan, dan anak itu telah dinikahkan dengan Nabi Zakariyya'. tapi tidak tahu mana silapnya, anak dan menantunya itu masih boleh diizinkan Allah untuk menimang cahaya mata. Maka sehingga usianya sudah menginjak tua, dia dan suaminya 'Imraan masih tidak dikurniakan walau seorang pun cucu.

Maka bermulalah munajat Hannah kepada Rabbnya.Saban waktu dia berdoa moga Allah memperkenankan hajatnya untuk dikurniakan seorang zuriat. Dan dengan izin Allah doanya termakbul, dan Hannah ditakdirkan mengandung kandungan kedua.

إِذۡ قَالَتِ ٱمۡرَأَتُ عِمۡرَٲنَ رَبِّ إِنِّى نَذَرۡتُ لَكَ مَا فِى بَطۡنِى مُحَرَّرً۬ا فَتَقَبَّلۡ مِنِّىٓ‌ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ
35: (Ingatlah) ketika isteri 'Imran berkata, 'Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepadaMu, apa (janin) yang dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdi (kepadaMu), maka terimalah (nazar itu) dariku. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.'

Hannah telah meletakkan hadafnya, ketika di awal kandungan janinnya lagi. Ya, aku perlu melahirkan seorang penyelamat ummah! Zuriatku nanti akan aku infaqkan di jalan Allah. Akan aku didik zuriatku ini semata-mata untuk mengabdikan diri kepadaMu Ya Allah! Bukan untuk menjadi penemanku di usia tua, bukan untuk berbakti kepada kami ibu bapanya!

Namun, Di saat kelahiran zuriatnya, Hannah terkejut, kerana yang lahir bukan seperti yang diharapkan.Dia dikurniakan anak perempuan!
فَلَمَّا وَضَعَتۡہَا قَالَتۡ رَبِّ إِنِّى وَضَعۡتُہَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا وَضَعَتۡ وَلَيۡسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلۡأُنثَىٰ‌ۖ وَإِنِّى سَمَّيۡتُہَا مَرۡيَمَ وَإِنِّىٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ
36. Maka ketika melahirkannya, dia berkata, "Ya Tuhanku, aku telah melahirkan anak perempuan". Padahal Allah lebih tahu apa yang dia lahirkan, dan laki-laki tidak sama dengan perempuan. "Dan aku memberinya nama Maryam, dan aku memohon perlindunganMu untuknya dan anak cucunya dari (gangguan) syaitan terkutuk"

Bagaimana anaknya akan menjadi penyelamat ummah, sedang dia adalah seorang wanita? Tapi Hannah sedar, Allah punya aturan yang lebih baik untuknya dan anaknya yang dinamakan Maryam. Hannah tidak kecewa dan sedih, bahkan Hannah semakin bersemangat untuk mendidik dan mentarbiyah Maryam menjadi hamba yang taat kepada Tuhan. Dihantar Maryam di bawah jagaan dan didikan Nabi Zakariyya', sehingga Maryam menjadi wanita suci yang dipilih Allah untuk melahirkan insan istimewa yang tidak berbapa, bernama Isa Alaihissalam.

Nah, tidakkah kita lihat betapa cantiknya aturan Allah? Hannah yang berpandangan jauh, tidak membatalkan niat dan hadafnya ketika melahirkan anak perempuan. Hannah tahu wanita juga punya kelebihan tersendiri, kerana dari rahim wanita yang mulia juga lahirnya seorang rijal yang akan menjadi pembawa dan penjunjung risalah agama Allah. Bukankah tangan yang menghayun buaian itulah yang akan menggoncang dunia?

Maka wajarlah kisah Hannah ini diturunkan ketika para sahabat Rasulullah sudah melupakan tujuan mereka berjihad dan lari mengejar harta ghanimah. Kisah Hannah ini mengigatkan kita bahawa ikhlas berjihad kerana Allah Taala itu yang paling utama, bukan kerana godaan dunia, kerana dunia dan seluruh isinya takkan sama dengan ganjaran Allah di akhirat kelak!

Subhanallah. Cantik sungguh kalam-kalam Allah. setiap ayat yang diturunkan tak pernah sia-sia. semua mempunyai hikmahnya tersendiri untuk hamba-hambaNya yang berfikir.

Sungguh, Saya kepingin untuk menjadi seperti Hannah dan Maryam. Dua wanita mulia yang berpandangan jauh. Seluruh kehidupannya semata-mata kerana Allah.Hatta zuriat sendiri yang dikasihi, tidak pernah mereka ragu-ragukan untuk diwaqafkan untuk berjihad di jalan Allah. Tapi saya sedar, Hannah dan Maryam bukan sekadar bercita-cita dan berangan-angan. Keduanya mempersiapkan diri untuk meningkatkan kualiti diri, demi melahirkan anak yang berkualiti. Bagaimana hubungan mereka dengan Allah, taqarrub mereka, ketaqwaan mereka, sehingga menjadikan mereka insan mulia yang dipilih dan dimuliakan Allah dan disebut-sebut kisahnya di dalam kitab AlQuran sehingga akhir zaman.Maka wajarlah Allah muliakan keluarga Imraan ini, kerana dari mereka juga lahirnya insan-insan mulia dan soleh disisi Allah.
Maka layakkah saya untuk menjadi seperti kedua wanita mulia ini? T__T

Attoyyibun littoyyibaat.
Zuriat yg baik, lahirnya dari benih yg baik dari kedua ibubapanya.
Tidakkah kita percaya dan beriman dgn janji Allah ini?








Wednesday, February 9, 2011

10 hari

Alhamdulillah 3ala kulli haal wani3mah

Pesawat MAS 0831 yang menerbangkan kami, pelajar Malaysia trip ke3 dari Jeddah, selamat mendarat di KLIA jam 730am waktu tempatan.

10 days of uncertainity is over, bak kata Em.

Juga boleh dikatakan tarbiyyah terbesar yg Allah nak beri kpd kami, setelah 4tahun hidup di bumi Kinanah ini.

Saya tergerak utk menulis ttg hikmah2 dan ibrah yg sempat kami muhasabahkan bersama sepanjang hampir 2 minggu menjadi 'pelarian terhormat' di Kaherah dan Jeddah, in a very short way.

1. Peristiwa ini merupakan application kpd segala theories yg kita belajar dlm usrah, daurah, mabit dll. mana perginya ithar, ikhlas, sabar, redha, qana'ah dan segala macam sifat2 mahmudah yg lain. samaada kita baru terjebak dalam tarbiyyah, ataupun sudah 4tahun berada dalam sistem tarbiyyah, semuanya diuji. adakah selama ini teori2 yg kita serapkan dan tarbiyah kan ke dalam diri adik2 mutarabbi kita, hanya satu omong2 kosong, sedang sifat2 itu sendiri tidak mendarah daging dalam diri kita. bila kita terpaksa bersesak2 bersama 25 org akhawat dalam bilik yg sempit sehingga terpaksa tidur di atas lantai jubin yg sejuk tanpa selimut di musim syita' (winter), bila makanan terpaksa dicatu, bila mana kita terpaksa meninggalkan rumah kita yg sangat selesa dan hanya dibenarkan membawa barang2 yg sgt limited, bilamana kita stranded di airport selama berjam-jam atau berhari-hari.bilamana terpaksa menunggu giliran evakuasi yang panjang.
dan segala macam kesusahan (yg sgt sikit sbnrnya) lain yg kita rasai.

adakah redha yg pertama sekali bertandang dalam hati kita?atau mulut tak berhenti merungut itu dan ini?
bagaimana ithar kita dalam menunggu giliran evakuasi, memberi tempat tidur, makanan dan lain2?
bagaimana dengan qana'ah kita (merasa cukup dgn apa yg ada)?

peristiwa yg menelanjangkan sikap sebenar dalam diri masing2 dan membuatkan kita makin mengenali ukhti2 kita :)

2. ketetapan Allah. sekelip mata sahaja Dia yang Maha Berkuasa mampu menarik dan melenyapkan nikmat yg selama ini mungkin kurang disyukuri. Jika hari-hari sebelum menjelang 25 Januari kami bebas ke mana-mana walau berseorangan, namun kini tidak lagi. Nikmat kebebasan bergerak dan keamanan telah ditarik, pergerakan terbatas. Manusia disekeliling dicurigai.

3. Kita merancang, Allah jua merancang. dan sebaik-baik rancangan adalah dariNya. mungkin kita bersengkang mata berminggu-minggu merancang program2 tarbawi di waktu cuti, ttp dgn takdir Allah Yang Maha Kuasa, segalanya terbatal begitu sahaja. tp ALlah gantikan dgn pengalaman berharga yg manis yg boleh diceritakan kpd anak cucu nnt ;)

4. Peristiwa Darurat yg menjadikan saya bertambah sayang kepada bumi Mesir, dan orang2nya. Kebangkitan rakyat yang rata-rataya adalah syabab dlm lingkungan umur kami, yg pasti keadaan ini sukar ditemui di tanah air kita sndiri. Bagaimana mereka mampu berhimpun dgn bilangan mencecah 8juta org dalam satu masa, dalam keadaan yg sangat teratur dari pelbagai lapisan umur, agama, pangkat demi memperjuangkan hak mereka. Bagaimana mereka mampu mengekalkan keadaan yg aman dalam jumlah yang sangat besar seperti itu, sehinggalah pihak yg tak bertanggungjawab dari kerajaan yg membuat provokasi dan kekacauan. Bagaimana dlm suasana yg getir dan rusuhan berlaku di hadapan, mereka masih patuh dan taat menunaikan kewajipan solat berjemaah tanpa rasa gentar.

5. Sebelum ini, tak pernah terfikir akan menghadapi situasi pembelajaran akan ditangguhkan kerana masalah keamanan. kalau diberhentikan disebabkan ajal, itu perkara biasa. kesimpulannya, bersedialah menerima segala bentuk kemungkinan,.dan perbanyakkan juga bekalan mengahadapi akhirat.kerana hanya orang yg bodoh akan mengejar perkara yg tidak pasti (duniawi) dan meninggalkan perkara yg pasti (kehidupan akhirat).

6. Menjadi 'pelarian', bermakna mempunyai masa lapang yg sangaaaaat banyak. bagaimana kita isi masa2 kita, adakah membuat marathon movies dan drama korea adalah cara kita utk membunuh masa lapang? atau dgn belajar menari?(which was really happened n i'm so sad bout this dancing thingy)
atau kita guna nikmat masa lapang ini utk mengkhatamkan AlQuran, membuat pengisian2 ruhiyah, menggunakan peluang utk mencari mad'u, dan sebagainya.

Entahlah. Jujurnya, sangat banyak hikmah lain yg Allah nak tunjukkan kpd kami. tp setakat ini yg terlarat nak diceritakan.

ps: saya rindukan mesir. saya tinggalkan mesir dengan sangat berat hati, takut2 tak kembali lagi ke bumi barakah itu. banyak sgt urusan yg tidak tercapai lagi hadafnya. Medic, penguasaan Bahasa Arab, Hifz Al-Quran, tarbiyah diri dan pembentukan fikrah.

catatan kami di hari rusuhan boleh dibaca dari blog cik yuyu

wallahu a3lam.

Monday, November 29, 2010

Sang Murabbi


"Ribuan langkah kau tapaki
Pelosok negri kau sambangi
Tanpa kenal lelah jemu
Sampaikan firman Tuhanmu"

Allah....
Bait-bait lagu ini yang bergema dalam benak kami lewat kebelakangan ini.

7 hari bersama Sang Murabbi, banyak mengajar dan mendewasakan aku dan akhawatku. Murabbi yang mengajar kami tentang erti CINTA. Cinta yang sebenar-benar cinta, kepada DAKWAH ini.

Kerana setiap jiwa mampu untuk berdakwah. Namun, adakah kita mampu untuk menCINTAi dakwah yang mulia ini?

Aku kembali bertanya pada diri sendiri. kenapa aku memilih jalan ini? jalan dakwah yang penuh liku dan pancaroba yang menyesakkan dada. ya, bukannya aku tak faham tabiat jalan ini. jalan yang dilalui oleh mereka yang mengaku dirinya pewaris nabi, yang akan mewariskan risalah Allah dan menegakkan kalimahNya yang Haq di atas muka bumi.

Justeru mengapa jalan ini yang aku pilih? jalan yang menjanjikan kesusahan, kepayahan, jalan yang memenatkan, dan segala macam perkara yang 'tak best' dalam nilaian seorang hamba bernama manusia.

Lalu aku berpuas hati dengan jawapanku sendiri. Ya, aku berdakwah kerana TANGGUNGJAWAB. wajib ke atas ku untuk melaksanakan tanggungjawab Syahadatul Haq yang diperintahkan. maka, tidak dapat tidak, aku WAJIB untuk menjadi seorang daie.

Dan aku merasakan, alasanku sudah cukup memuaskan hati.

Namun,

7 hari bersama sang murabbi, membuatkan aku kembali menilai diri.

Sejauh mana rasa tanggungjawabku untuk memikul beban dakwah ini akan terus menetapkan langkahku di atas jalan yang penuh onak duri ini?
Bagaimana ketika aku sedang futur?Ketika aku penat, jatuh tersungkur, dan lelah dengan ujian yang silih berganti? Bagaimana jika aku dibebankan dengan tanggungjawab lain kelak? tanggungjawab seorang isteri, ibu, doktor?

Maka TAK MUSTAHIL rasa tanggungjawab ku terhadap dakwah, tidak lagi menjadi prioriti. mungkinkah jatuh tangganya menjadi kepentingan ke-2, ke-3 atau seterusnya?

Sang murabbi yang aku kagumi, bukan saja dia berdakwah kerana tanggungjawab.
Bukan kerana mengisi masa lapang. bukan jua kerana takutkan dosa yang bakal dipikul jika mengabaikan dakwah.

Bahkan dia CINTA akan dakwah yang mulia ini.

7 hari bersama murabbi, membuktikan segala-galanya di depan mataku, yang selama ini hanya aku imani melalui cerita-cerita duat terdahulu. yang aku tontoni dari kisah-kisah perjalanan hidup para murabbi, yang aku baca dari tulisan-tulisan para mujahidin fisabilillah.

dan kali ini, Allah yang sangat baik itu, memberikan ku peluang untuk melihat dan menilai dengan mata kepala ku sendiri.

seorang daie dan murabbi, yang CINTA akan dakwah ini.

murabbi yang tak pernah lekat di rumahnya. sentiasa saja terbang kesana kemari, mengisi kelompongan dan kegersangan tarbiyyah para syabab fatayat dari seluruh dunia yang dahagakan taujihaat dan pencerahan.

murabbi yg tak pernah kisahkan kepentingan dirinya.yang penting baginya adalah kebajikan dan keselesaan para mutarabbi. makan, pakai, tempat tinggalnya, jika tiada yg mengambil berat dan tak bertanya, makanlah dia seadanya.tidurlah dia di dalam tremco, keretapi, metro, jika tiada yg mengambil berat meguruskan penginapannya.

murabbi yang tak kenal siang dan malam.dari awal pagi hingga lewat malam memberikan taujih, pencerahan-pencerahan tarbiyyah, berqadhaya isu ummah dan merancang pelan-pelan dakwah.dalam keadaan yang sangat penat, dan kurang tidur hingga merah-merah mata, masih ceria dan sanggup meneruskan daurah hingga jam 2 pagi !

murabbi yang melayan kehendak mad'u dan mutarabbinya.seorang yang mampu menarik sesiapa saja yang mendengar taujihaat darinya, bahkan mutarabbinya mencecah ribuan.murabbi yg sentiasa ceria, walaupun dalam kepalanya menanggung beban masalah dakwah dari seluruh dunia.

seorang murabbi, yg tak pernah kisahkan tohmahan manusia ke atas dirinya.

seorang murabbi, yang menginfaqkan seluruh kehidupannya untuk dakwah ini.

kerana dakwah lah CINTA dan OBSESI hati nya, dan cinta itulah yg menjaganya dan menetapkan langkahnya di atas jalan ini.

Allahumma, ampunkan dosa para murabbi kami. payungi mereka dengan rahmat dan kasih sayangMu. izinkan kami, ya Allah. izinkan kami untuk terus tsabat di atas jalan ini. campakkan rasa cinta di dalam hati kami. rasa cinta akan dakwah dan risalah Mu ini.

cinta dan obsesi yang akan membawa kami ke syurgaMu nanti...

"Semua makhluk bertasbih

Panjatkan ampun bagimu

Semua makhluk berdoa

Limpahkan rahmat atasmu

Duhai pewaris nabi

Duka fana tak berarti

Surga kekal dan abadi

Balasan ikhlas di hati"


"Tanpa kenal lelah jemu, sampaikan firman TuhanMu...."



Sunday, August 29, 2010

Ramadhan Dua Zaman




Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berasa di awal zaman
Ramadhan kami malang terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah nur al-Qur’an
Tapi malam kami muram berkabung dengkur

Mereka berlumba mengejar ma’rifat
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap taqwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak bermaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga


ramadhan kareem! misi pencarian lailatulqadr bermula.yosh!!

Friday, July 16, 2010

Dia Yang Bernama Al-Wakeel

"Ya Allah, jangan Kau tinggalkan aku untuk diriku walau
sekelip mata atau yang lebih sedikit dari itu, kerana jika Kau meninggalkanku,
maka Kau tinggalkan aku dalam kelemahan,aurat dan kesalahan. Dan aku tidak
percaya kecuali pada rahmatMu"
(HR Al-Baihaqi)


Jangan tinggalkanku Ya Allah. Jangan Kau biarkanku bergerak sendiri, wahai Tuhanku, walau hanya sekelip mata!

Bukankah Kau Yang Bernama Al-Wakeel?

Ya, Al-Wakeel yang menguruskan hambaNya, dengan kebaikanNya, dan tidak akan menyia-nyiakan dan menimpakan kemudharatan, bahkan Dia akan menunjuki jalan kemaslahatan.

Pabila Kau tutup pintu rezeki kami, Kau sebenarnya telah membuka jalan rezeki yang lain bagi kami. Kau takkan pernah memudharatkan kami. Lalu, mengapa kami enggan bertawakkal?

Tawakal, ianya ibadah hati, dan hanya dilakukan oleh hati.Ya, ianya tidak terkait dengan perlakuan anggota badan. Anggota badan kita, kaki, tangan atau lisan harus bekerja keras seolah-olah tidak mengenal erti tawakal.Anggota yang hanya berfungsi untuk menyempurnakan sebab. Sedang hati di sebaliknya,ia akan memutuskan hubungan antara sebab dan akibat, dan hanya bergantung harap sepenuhnya kepada Allah Taala!

Tawakal, ianya kepasrahan hati di hadapan Allah, sebagaimana pasrahnya mayat di hadapan orang yang memandikannya, yang redha tubuhnya dibolak-balikkan sewenangnya.Kita bagai membenarkan Allah melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki, kerana yakin Al-Wakeel itu takkan menjerumuskan hambaNya ke dalam kemudharatan.

Tawakal, ianya apabila Al-Mutawakkil itu rela Allah sebagai Al-Wakeel.Kita rela Allah sebagai tempat bersandar dan berpaut, dan kita serahkan semua urusan kepadaNya tanpa ragu-ragu.

Kerana apa?
Kerana Al-Wakeel itu adalah Rabb yang memiliki 'Arsy yang agung. (At-Taubah:129)

Mengapa kita jadikannya sebagai pelindung?
Kerana dialah Rabb timur dan barat, dan di genggamannya segala sesuatu. (Al-Muzammil:9)

Mengapa?
Kerana Dia adalh Ar-Rahmaan (Yang Maha Penyayang). Yang tidak akan membiarkan kita dalam keburukan.Dialah Ar-Rahmaan,yang akan membawa kita kepada kebaikan.Dialah Ar-Rahmaan, yang menyayangi hambaNya,maka bertawakkallah padaNya. (Al-Mulk:29)

Tawakal, ianya sangat indah.Tawakal yang hanya ada dalam agama Islam, takkan difahami oleh penganut agama lain. Kerana Islam, umatnya meyakini, hasil itu langsung tidak berkait dengan usaha yang telah dilakukan.

Kayanya dia bukan disebabkan bersungguhnya dia bekerja mecari rezeki.
Berjayanya dia di dalam pelajaran, bukannya disebabkan usahanya menglangkaji saban malam.

Bahkan, itu kurnia dari Ar-Rahmaan yang Maha Pengasih.

Bukankah tawakal Muhammad Sallallahu 'Alayhi Wa Sallam itu terbukti dengan kematian dua manusia yang paling dicintai; Abu Talib yang menjaganya dari kaum Quraisy, dan Khadijah yang setia membantu di sisi? Allah yang berkuasa memegang urusan ajal, boleh saja jika keduanya diwafatkan setelah Fathul Mekah, yakni setelah kemenangan Islam dicapai dengan gemilang.Lalu, mengapa Allah mewafatkan keduanya ketika mana Rasulullah Sallallahu 'Alayhi Wa Sallam sangat memerlukan mereka?

Seolah-olah Allah berkata: "Siapakah yang berdiri di sampingmu, wahai Muhammad?Bapa saudaramu dan isterimu, mereka telah mati. Lalu kau punya siapa selainKu? Punyakah Kau selain Allah?"

Khadijah dan Abu Talib diwafatkan, agar Muhammad Sallallahu 'Alayhi Wa Sallam semakin bergantung harap kepada Rabbnya.

Kerana Al-Wakeel itu, Dia 'cemburu' pada hati hambaNya. Allah mencintai jika hati seorang hamba hanya bergantung denganNya semata.Tetapi jika hambaNya disibukkan oleh urusan dunia, maka Allah mengambil dunianya tersebut, agar dia hanya disibukkan oleh Allah sahaja, dan kembali bertawakkal padaNya.

Lihatlah Ibrahim Alaihissalam yang mencintai Ismail Alaihissalam. Allah mengambil Ismail dari tangannya, dan memerintahkan padanya untuk menyembelih Ismail.Ketika pisau diletakkan di leher Ismail, yang ada dalam hatinya hanyalah kecintaan kepada RabbNya!

maka sahabatku, ketika semua jalan bagi kita telah tertutup, janganlah bersedih.

ketahuilah bahawa Allah itu menginginkan kita agar kembali kepadaNya, hingga kita menyedari bahawa Dia adalah sebenar-benar dan sebaik-baik Al-Wakeel.

ketahuilah,

Pena telah diangkat, dan Lembaran telah pun kering.

rezeki, ajal, amalan, celaka atau bahagiakah kita, segalanya telah lama tertulis.dan tiada apa yang mampu mengubah atau menghapuskan apa yang telah ditakdirkan Allah kepada kita.

hasbunallahu wani3mal wakeel..

selamat menerima natijah imtihaan akhir kepada pelajar Perubatan Tahun 3 Universiti Kaherah yang akan keluar dalam beberapa hari saja lagi.
sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang dan menetapkan sebaik-baik keputusan..moga kita redha dengan segala ketetapan..allahumma ameen